Rabu, 9 September 2015

Terowong banjir terpanjang tercantik diMalaysia

Terowong banjir yang menghubung antara empangan timah tasoh ke kampung wai kuala perlis adalah terowong terpanjang dan tercantik di Malaysia.

Terowong laluan air sepenuh masa batu kapur sepanjang 756 meter di Tebing Tinggi di sini, satu daripada komponen utama Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh, mencatat rekod kerana terpanjang di negara ini sekali gus bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Perlis pada masa depan.

Ini disebabkan pembinaan terowong yang menelan kos lebih RM56 juta dan kini sudah hampir 70 peratus siap itu, boleh dilalui oleh bot-bot kecil atau digunakan untuk aktiviti rekreasi tertentu ekoran hanya tiga perempat sahaja di dalamnya akan dipenuhi air.

Antaranya aktiviti rekreasi se­perti menyusuri sungai, berkayak dan berenang secara maraton.

Projek pembinaannya yang menggunakan kepakaran daripada sebuah syarikat dari China juga dianggap unik kerana ditebuk hanya daripada satu laluan iaitu dari arah Kampung Wai sehingga ke Tebing Tinggi, ekoran beberapa faktor termasuk jarak sungai yang terlalu hampir di Tebing Tinggi.

Berbanding terowong-terowong lain yang dibina di seluruh dunia, laluan ditebuk dari kedua-dua arah dan bertemu di bahagian tengah terowong.

Terowong tersebut juga disifatkan sebagai antara yang tercantik kerana terletak di dalam banjaran batu kapur terpanjang di negara ini dan berusia lebih 500 juta tahun selain menganjur sehingga ke selatan Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Zainor Rahim Ibrahim berkata, projek pembinaan terowong itu berjalan lancar mengikut jadual dan dijangka siap pada Disember ini

Sumber utusan
Gambar efandy haron